Saturday, September 29, 2012
Friday, September 14, 2012
Tersenyumlah. Jangan Bersedih, Allah Bersama Kita...
Wahai Hamba Ilahi,
Allah mendugamu bukan kerna Dia mahu menyusahkan dirimu tetapi Dia ingin mengetuk hatimu yang tidak pernah lelah bermain dengan dunia agar dirimu kembali lurus pada jalanNya..
Ingatlah, Allah tidak pernah melupakan kita tetapi mungkin kita yang selalu melupakanNya, melupakan ayat-ayatNya, melupakan nikmat-nikmat yang telah kita pinjam dariNya..
Ketika kita senang, dengan enteng kita meninggalkanNya. Ketika kita susah, kita meraung menyeru namaNya. tidak malukah kita padaNya? Sedarlah! kita hambaNya bukan siapa-siapa. Jika tidak kerna kasih sayangNya kita tidak akan dapat merasai apa yang kita miliki ketika ini..
Sedarlah jiwa-jiwa yang terleka.
Hadapilah segala ujian dengan rasa kehambaan kepadaNya. Tersenyumlah kerna setiap kesulitan itu pasti akan disusuli oleh kemudahan. Sesungguhnya dugaan dan ujian hadir dalam hidup kita adalah tanda sayangnya Allah pada kita. Oh untungnya kita.
Ayuh kembali menjadi hamba-Nya, kesilapan yang lalu jadikanlah sebagai pengajaran buat kita agar terus berjaya di masa depan. Jangan biarkan kegagalan itu membunuh jiwa kita untuk terus bangkit.
Buatmu wahai jiwa–jiwa yang terluka..
Jangan bersedih, kerana qadha’ telah ditetapkan, sesuatu yang ditakdirkan telah terjadi, pena-pena telah mengering, lembaran-lembaran catatan ketentuan telah pun dilipat, dan setiap perkara telah ditetapkan! Betapapun, kesedihan anda tidak dapat mendahulukan atau menta’khirkan kenyataan yang terjadi, dan tidak juga mampu menambahkan atau mengurangi apa yang telah ditetapkan.
Jangan bersedih, kerana kita telah melalui kesedihan itu kelmarin dan ia sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pun pada keesokan harinya. kesedihan demi kesedihan bakal membuat kita semakin terperuk dalam keputus-asaan dan dunia yang luas dirasakan sempit dan tidak lagi berguna. Padahal, dunia inilah kesempatan untuk kita dekatkan diri kepada Allah untuk kita raih syurgaNya yang tersangat indah serta bebas daripada rasa kesedihan.
Jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan ketenangan anda. Oleh sebab itu, jangan habiskan usia anda dalam kesedihan, jangan biarkan malam-malam anda dalam kecemasan, jangan anda tukar kebahagiaan dengan ketakutan, dan jangan mensia-siakan waktu anda yang masih tersisa, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang mensia-siakan waktu.
Wahai hamba Allah, iaitu saya dan kamu..
Gara-gara kesedihan, air yang manis akan terasa pahit, makanan yang lazat terasa hambar dan bunga mawar yang mekar mewangi terus menjadi layu. Kita sendirilah yang menggerakkan saraf pemikiran kita, mengubah situasi kita, meletihkan hati kita dan menganggu tidur kita dengan rasa kesedihan itu.
Ingatlah tangisan terindah itu apabila butir-butir airmata mengalir hangat di pipi lantaran terasa diri kita begitu kerdil di sisi Allah dan begitu berdosanya kita di sisi Allah. Jika kita soal pada hati kita yang paling dalam. Berapa banyakkah dosa kita? Sikitkah? Banyakkah? Terhitungkah? Allahu Rabbi… Semoga Allah sentiasa mengampuni dosa-dosa kita serta menggerakkan hati-hati kita supaya sentiasa bertaubat kepadaNya agar diri kita tidak tenggelam dengan dosa-dosa yang menggelapkan hati lalu memadam nur hidayah yang diidami.. Sama-sama kita renungi diri kita ini lebih-lebih lagi yang menulis ini dan sahabat-sahabat yang dikasihi. InsyaAllah, semoga Allah redha ke atas kita semua.
Lihatlah disekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu, sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus asa, senyuman yang kau berikan dan airmata yang kau titiskan, simpan.. jadikan tauladan, segala yang kau pandang dan dengar, simpan.. buat pedoman.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” – (Surah Al-Imran:139)
Monday, September 10, 2012
Jangan Bersedih, Dunia Ini Terlalu Kecil Untuk Ditangisi
Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepadaNya, dan kadangkala juga kesedihan membawa kita jauh darinNya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati. Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?
Acap kali, manusia itu bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperikasaan kita akan bersedih. Ketika putus cinta dengan sang kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih. Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita, sebenarnya terlalu kecil disisi Allah Azzawajalla.
Dalam sebuah Hadith Sahih disebutkan:
Seandainya nilai dunia ini disisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air pun.
Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia ini disisi Allah. Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?
Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah seorang ulama yang sangat masyhur pernah mengatakan bahawa:
Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan, lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.
Dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah juga pernah mengatakan bahawa:
Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah
Sakinah atau kebahagian adalah apabila anda merasa aman atas diri sendiri, masa depan, keluarga dan kehidupan anda sendiri. Dan semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadapa qadha' dan qadhar serta diiringi oleh sifat qana'ah dan sabar.
Oleh itu kita harus kembali kepada hakikat hidup yang sebenar, jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripadaNya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi.
- Artikel iluvislam.com
Wednesday, September 5, 2012
Penawar Menghilangkan Kepenatan.
Suatu hari, Fatimah telah mengadu kepada suaminya, Sayyidina Ali tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Sayyidina Ali berkata: "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang, pergilah berjumpa dengannya dan mintalah seorang khadam untuk membantumu".
Lalu Fatimah pergi berjumpa dengan ayahnya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w pergi menemui puterinya serta menantunya itu.
Lantas Baginda s.a.w berkata: "Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua hendak berbaring untuk tidur, maka bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali, dan bertakbir (Allahu Akbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."
Inilah penawar ringkas yang Rasulullah s.a.w ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan dalam kehidupan mereka berdua.
Sayyidina Ali terus mengulang-ulang apa yang Nabi SAW ajarkan kepada dia. Katanya: "Demi Allah aku tidak pernah tinggalkan zikir tadi semenjak ia diajarkan kepadaku."
Jika anda merasai kepenatan setelah melakukan tugasan harian supaya mengamalkan membaca Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali pada setiap malam sebelum melelapkan mata (tidur).
Lakukanlah dengan penuh tekun, ikhlas dan istiqamah. InsyaAllah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan dalam kehidupan seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.
Friday, July 13, 2012
Terbanglah Setinggi-tingginya
Saya ingin menambah. Semasa mula-mula hendak terbang, burung menggunakan banyak tenaga untuk mengepak demi merenggangkan jasadnya dari tanah. Tetapi apabila sudah melangit di udara, ia hanya perlu mendepakan kepaknya, terbang melayang dan meluncur di laluan angin. Sesekali ia menjunam ke bawah juga, kerana makanannya berada di tanah, ataupun di air. Tetapi jika tidak jadi mendarat, sekali lagi ia akan mengerah kudrat mengepak, sehingga stabil semula bermain angin.
Kita hidup di bumi, tetapi nilai kehidupan dan prinsip perjuangan ini kita ambil dari langit. Kita berasal daripada tanah, tetapi ruh kita berasal daripada alam yang tinggi. Kita makan minum di dunia ini, tetapi kerinduan kita di syurga Firdaus yang tertinggi.
Sebagaimana bumi ini mempunyai graviti yang menyebabkan jasad kita “melekat” di tanah, begitu juga dunia ini mempunyai tarikan yang menyebabkan jiwa kita “melekat” pada fatamorgana kehidupan.
Untuk merenggangkan jiwa daripada “graviti” fatamorgana kehidupan ini, kita perlu mengerah kudrat, bermujahadah. Umpama musafir berkelana berjauhan daripada keluarga tersayang, agar mudah mengendalikan perasaan dengan kesabaran dan ketabahan. Umpama memegang kukuh tali kekang, biar dibanting dilambung, sementara kuda yang liar itu menjinak. Itulah peraturan yang ditentukan Allah, sebelum burung boleh meluncur bermain angin di ketinggian melangit itu, sebelum kita boleh bebas merdeka di alam perjuangan ini, jauh daripada perangkap nafsu yang membelenggu.
Bagi yang telah lama terbang tinggi, setelah melalui tahun-tahun mujahadah, jangan pula leka bermain angin, sehingga kadang-kadang kita tidak sedar sedang menjunam ke bawah. Fatamorgana itu mungkin lebih indah pemandangannya dari ketinggian yang melangit itu. Bahkan di ketinggian itu, sasaran tampak terlalu kecil dan mudah disambar.
Isteri, karier, harta dan kedudukan. Kalau ditambah, bermakna bertambah beban. Daya melawan tarikan graviti perlu semakin kuat. Adakah kita sedang terbang di ketinggian yang sudah cukup selamat? Atau adakah kita cukup yakin dengan kekuatan kudrat untuk mengepak bersama beban baru itu ke arah ketinggian yang asal? Jika jawapannya ya, silakan, kerana yang demikian itu menggambarkan kegagahan, keberanian dan keunggulan, ibarat burung helang yang merajai awan biru. Jika jawapannya tidak, maka jangan mengundang nahas.
Bagi yang baru mula hendak mengepak, masih berusaha merenggangkan diri, masih bermujahadah, masih berada dalam zon berbahaya, tumpukan fokus ke arah alam yang tinggi. Isteri, karier, harta dan kedudukan. Perlu bermakna sekadar perlu. Jangan terlebih, nanti tersungkur. Buruk padahnya.
Dunia ini bagi pejuang Islam, bukan setakat tidak di hatinya, bahkan hanya diurus oleh tangan kirinya sahaja (bagi yang bukan kidal). Diurus dengan cekap, melalui minda separa sedar. Seperti pemandu yang mengawal tombol gear dan pedal klac dengan tangan dan kaki kirinya, tanpa fikir, tetapi lancar tanpa sebarang masalah. Tangan dan kaki kanannya digunakan untuk tugas yang lebih kritikal; hala tuju, kelajuan dan keselamatan.
Jika dunia di tangan kanan, ia mengundang rasa bimbang. Itulah gambaran keadaan apabila masalah-masalah kehidupan peribadi mengambil alih tumpuan dan perhatian, sehingga merencatkan peningkatan dan pencapaian perjuangan. Belum apa-apa lagi, sudah konflik. Tidak bersyukur dengan apa yang ada. Tidak sedar diri yang serba kekurangan. Ego yang melupakan asal usul dan arah tujuan.
Jika dunia sudah di hati, maka petakalah maknanya itu.
Kesimpulannya, dua perkara yang perlu ditilik kembali. Diamat-amati betul-betul. Apakah yang kita mahu sebenarnya? Dan apakah benar-benar itu yang kita mahu?
Kalau betul kita mahu mati selaku pejuang, dan kalau betul kita sudah nekad begitu, maka terbanglah setinggi-tingginya, kerana pemangsa syaitan dan perangkap nafsu itu tidak pernah mengenal erti simpati dan kasihan. Terbanglah setinggi-tingginya, agar layak menjadi teladan yang memimpin generasi demi generasi di sepanjang zaman. Jika tidak, kita akan ditelan zaman, ibarat buih-buih di tengah lautan. Pilihan di tangan kita.
http://ustazhazizi.wordpress.com/2011/11/05/terbanglah-setinggi-tingginya/
Wednesday, April 11, 2012
7 keajaiban selepas anda menangis
7 keajaiban selepas anda menangis. Ramai orang tahu selepas menangis memang akan rasa lega. Yelah, menangis itukan salah satu cara meluahkan perasaan yang terpendam. Menangis pun ada beberapa kategori yang tersendiri, antaranya; menangis kerana sedih, menangis kerana gembira, menangis kerana lakonan, dan sebagainya. Pokoknya, menangis keluar air mata. Aiwah!
Namun tahukan anda terdapat 7 keajaiban selepas anda menangis. Apa yang ingin Admin kongsikan adalah berdasarkan kajian pakar. Di bawah Admin senaraikan yang boleh anda perolehi setelah menangis dan berair mata.
1. Membantu Penglihatan.
Air mata ternyata membantu penglihatan seseorang, jadi bukan hanya mata itu sendiri. Cecair yang keluar dari mata dapat mencegah dehidrasi mata yng boleh membuat penglihatan menjadi kabur.
2. Membunuh Bakteria.
Tak perlu ubat titis mata, cukup air mata yang berfungsi sebagai antibakteria semulajadi. Di dalam air mata terkandung cecair yang disebut dengan lisozom yang dapat membunuh sekitar 90-95 peratus bakteria-bakteria yang tertinggal dari keyboard komputer, pegangan tangga, bersin dan tempat-tempat yang mengandungi bakteria, hanya dalam 5 minit.
3. Meningkatkan Mood.
Seseorang yang menangis boleh menurunkan level depresi kerana dengan menangis, mood seseorang akan menaik kembali. Air mata yang dihasilkan dari jenis menangis kerana emosi mengandungi 24 peratus protein albumin yang berguna dalam meregulasi sistem metabolisme tubuh berbanding air mata yang dihasilkan dari iritasi mata.
4. Mengeluarkan Racun.
Seorang ahli biokimia, William Frey telah melakukan beberapa kajian tentang air mata dan mendapati bahawa air mata yang keluar daripada hasil menangis kerana emosional ternyata mengandungi racun. Tapi jangan salah anggap, keluarnya air mata yang beracun itu menandakan bahawa ia membawa racun daripada dalam tubuh dan mengeluarkan melalui mata.
5. Mengurangkan Stress.
Bagaimana menangis boleh mengurangkan stress? Air mata ternyata juga mengeluarkan hormon stress yang terdapat dalam tubuh iaitu endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin. Selain menurunkan level stress, air mata juga membantu melawan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh stress seperti tekanan darah tinggi.
6. Membangun Komuniti.
Selain baik untuk kesihatan fizikal, menangis juga boleh membantu seseorang membina sebuah komuniti. Biasanya seseorang menangis setelah menceritakan masalahnya di depan teman-temannya atau seseorang yang boleh memberikan sokongan, dan hal ini boleh meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan juga bersosial.
7. Melegakan Perasaan.
Semua orang rasanya merasa demikian. Walaupun anda didera pelbagai macam masalah dan cubaan, namun setelah menangis biasanya akan muncul perasaan lega dan tenang.
Setelah menangis, sistem limbik, otak dan jantung akan menjadi lancar, oleh sebab itu menangis dapat membuatkan seseorang berasa lebih baik, selesa dan lega. Keluarkanlah masalah di fikiran Anda semasa menangis, jangan dipendam kerana anda boleh menangis sepuas-puasnya!
Pesan Admin: Tak salah nak menangis, tapi kenalah pada tempatnya, ini tetiba menangis takde sebab nanti orang pandang semacam pula. Satu lagi, tak perlu menggunakan tangisan air mata untuk mendapat simpati orang lain. Menangis atau tangisi atas kesalahan dan dosa di atas tikar sejadah antara kita dan Allah itu lebih baik. Wallahua’lam.
http://www.pelikbinajaib.com/ajaib/7-keajaiban-selepas-anda-menangis
Thursday, March 22, 2012
Jangan Bersedih, Ingatlah Allah...
Bismillahirrahmanirrahim...
Hari ini ayuh kita baiki akhlak kita supaya Allah redha dengan kita dan manusia akan menyayangi kita. Allah telah berfirman:
kemudian Allah berfirman lagi,
Mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya; Harta yang melimpah ruah. Apa lagi yang kurang? Renungkanlah!
Tidak ada apa yang kurang, saudara. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup belaka. Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa harus kita berdukacita? Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik!
Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil, sahabatku sekalian.
Demikian juga apabila dirimu yang ditimpa musibah kesedihan, kau hiburkanlah hatimu yang berduka itu dengan bait-bait ayat-ayatNya yang Maha Suci dan Sempurna. Kau renungi sirah Baginda Muhammad Sallallahu’alaihi wassalam yang mulia, kau perah segala ‘ibrah yang terdapat di dalam jalan hidupnya, kerana Demi ALLAH berat lagi ujian dan bebanan yang terpikul ke atas bahu Baginda.
Tentu kau ingat akan kesedihan Baginda ditinggalkan oleh isteri kesayangan Baginda dan juga bapa saudaranya yang tercinta buat selama-lamanya? Juga tidak mungkin kau terlupa akan pemulauan dan ejekan keluarga dan kaum Baginda terhadap Baginda sendiri. Pujukilah hatimu dengan kalimah-kalimah yang menggembirakan hatimu. Sepertimana kau juga memberikan semangat semula kepada mereka yang bersedih di sekelilingmu.
Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.
Sesungguhnya tidak datang kesedihan itu melainkan suatu ujian bagimu.
Ingatlah, siapa yang sentiasa di sisimu untuk mengabulkan doa? Siapa yang sudi menerimamu kembali setelah kau datang kepada-Nya dengan banjaran dosa-dosamu? Siapa yang memberikan ketenangan dan kesenangan setelah kau diuji? Siapa yang masih mahu memberikan nikmat kepadamu kadangkala tanpa kau memintanya?
Tuhan adalah jawapan kepada segalanya. Kembalilah kepada ALLAH Tuhanmu.
http://www.alhikmahsj.com/