Friday, September 14, 2012

Tersenyumlah. Jangan Bersedih, Allah Bersama Kita...


Saat kita menempuhi onak duri dunia, ya mungkin ada kalanya, kesedihan itu terus memanjat-manjat di dasar hati lantaran ada dugaan yang memedihkan dan mengusik ketenangan jiwa. Air mata seakan bersedia mahu keluar agar tidak terus berombak di kolam hati. Saat itu mungkin sabar tidak dikenali lagi. Dalam terharu, air mata tumpah juga, mengalir deras mengeringkan derita. Kemudian ada sedikit ketenangan mula menyusup membalut lara, sinar-sinar harapan menampakkan cahaya menyuluh jalan yang lebih bahagia. Keyakinan seakan tumbuh dari sokongan dan kesedaran, wajah mula tenang dan senyuman mudah terbentuk. Cerialah diri. Suka duka, sedih gembira bagaikan silih berganti. Wahai hati, ingatlah diri kita ini tidak hidup abadi. esok, lusa, mana tahu kita akan mati.

Wahai Hamba Ilahi,

Allah mendugamu bukan kerna Dia mahu menyusahkan dirimu tetapi Dia ingin mengetuk hatimu yang tidak pernah lelah bermain dengan dunia agar dirimu kembali lurus pada jalanNya..

Ingatlah, Allah tidak pernah melupakan kita tetapi mungkin kita yang selalu melupakanNya, melupakan ayat-ayatNya, melupakan nikmat-nikmat yang telah kita pinjam dariNya..

Ketika kita senang, dengan enteng kita meninggalkanNya. Ketika kita susah, kita meraung menyeru namaNya. tidak malukah kita padaNya? Sedarlah! kita hambaNya bukan siapa-siapa. Jika tidak kerna kasih sayangNya kita tidak akan dapat merasai apa yang kita miliki ketika ini..

Sedarlah jiwa-jiwa yang terleka.

Hadapilah segala ujian dengan rasa kehambaan kepadaNya. Tersenyumlah kerna setiap kesulitan itu pasti akan disusuli oleh kemudahan. Sesungguhnya dugaan dan ujian hadir dalam hidup kita adalah tanda sayangnya Allah pada kita. Oh untungnya kita.

Ayuh kembali menjadi hamba-Nya, kesilapan yang lalu jadikanlah sebagai pengajaran buat kita agar terus berjaya di masa depan. Jangan biarkan kegagalan itu membunuh jiwa kita untuk terus bangkit.

Buatmu wahai jiwa–jiwa yang terluka..

Jangan bersedih, kerana qadha’ telah ditetapkan, sesuatu yang ditakdirkan telah terjadi, pena-pena telah mengering, lembaran-lembaran catatan ketentuan telah pun dilipat, dan setiap perkara telah ditetapkan! Betapapun, kesedihan anda tidak dapat mendahulukan atau menta’khirkan kenyataan yang terjadi, dan tidak juga mampu menambahkan atau mengurangi apa yang telah ditetapkan.

Jangan bersedih, kerana kita telah melalui kesedihan itu kelmarin dan ia sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pun pada keesokan harinya. kesedihan demi kesedihan bakal membuat kita semakin terperuk dalam keputus-asaan dan dunia yang luas dirasakan sempit dan tidak lagi berguna. Padahal, dunia inilah kesempatan untuk kita dekatkan diri kepada Allah untuk kita raih syurgaNya yang tersangat indah serta bebas daripada rasa kesedihan.

Jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan ketenangan anda. Oleh sebab itu, jangan habiskan usia anda dalam kesedihan, jangan biarkan malam-malam anda dalam kecemasan, jangan anda tukar kebahagiaan dengan ketakutan, dan jangan mensia-siakan waktu anda yang masih tersisa, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang mensia-siakan waktu.

Wahai hamba Allah, iaitu saya dan kamu..

Gara-gara kesedihan, air yang manis akan terasa pahit, makanan yang lazat terasa hambar dan bunga mawar yang mekar mewangi terus menjadi layu. Kita sendirilah yang menggerakkan saraf pemikiran kita, mengubah situasi kita, meletihkan hati kita dan menganggu tidur kita dengan rasa kesedihan itu.

Ingatlah tangisan terindah itu apabila butir-butir airmata mengalir hangat di pipi lantaran terasa diri kita begitu kerdil di sisi Allah dan begitu berdosanya kita di sisi Allah. Jika kita soal pada hati kita yang paling dalam. Berapa banyakkah dosa kita? Sikitkah? Banyakkah? Terhitungkah? Allahu Rabbi… Semoga Allah sentiasa mengampuni dosa-dosa kita serta menggerakkan hati-hati kita supaya sentiasa bertaubat kepadaNya agar diri kita tidak tenggelam dengan dosa-dosa yang menggelapkan hati lalu memadam nur hidayah yang diidami.. Sama-sama kita renungi diri kita ini lebih-lebih lagi yang menulis ini dan sahabat-sahabat yang dikasihi. InsyaAllah, semoga Allah redha ke atas kita semua.



Lihatlah disekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu, sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus asa, senyuman yang kau berikan dan airmata yang kau titiskan, simpan.. jadikan tauladan, segala yang kau pandang dan dengar, simpan.. buat pedoman.



“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” – (Surah Al-Imran:139)






Monday, September 10, 2012

Jangan Bersedih, Dunia Ini Terlalu Kecil Untuk Ditangisi



Kesedihan adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hambaNya.

Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepadaNya, dan kadangkala juga kesedihan membawa kita jauh darinNya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati. Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?

Acap kali, manusia itu bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperikasaan kita akan bersedih. Ketika putus cinta dengan sang kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih. Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita, sebenarnya terlalu kecil disisi Allah Azzawajalla.

Dalam sebuah Hadith Sahih disebutkan:

Seandainya nilai dunia ini disisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air pun.

Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia ini disisi Allah. Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah seorang ulama yang sangat masyhur pernah mengatakan bahawa:

Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan, lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.

Dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah juga pernah mengatakan bahawa:

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah

Sakinah atau kebahagian adalah apabila anda merasa aman atas diri sendiri, masa depan, keluarga dan kehidupan anda sendiri. Dan semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadapa qadha' dan qadhar serta diiringi oleh sifat qana'ah dan sabar.

Oleh itu kita harus kembali kepada hakikat hidup yang sebenar, jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripadaNya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi.



- Artikel iluvislam.com

Wednesday, September 5, 2012

Penawar Menghilangkan Kepenatan.




Bagi mengatasi keletihan dalam melaksanakan tugas-tugas seharian samada di rumah, bolehlah mengamalkan penawar yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada puteri kesayangan baginda, Sayyiditina Fatimah.

Suatu hari, Fatimah telah mengadu kepada suaminya, Sayyidina Ali tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Sayyidina Ali berkata: "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang, pergilah berjumpa dengannya dan mintalah seorang khadam untuk membantumu".

Lalu Fatimah pergi berjumpa dengan ayahnya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w pergi menemui puterinya serta menantunya itu.

Lantas Baginda s.a.w berkata: "Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua hendak berbaring untuk tidur, maka bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali, dan bertakbir (Allahu Akbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Rasulullah s.a.w ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan dalam kehidupan mereka berdua.

Sayyidina Ali terus mengulang-ulang apa yang Nabi SAW ajarkan kepada dia. Katanya: "Demi Allah aku tidak pernah tinggalkan zikir tadi semenjak ia diajarkan kepadaku."

Jika anda merasai kepenatan setelah melakukan tugasan harian supaya mengamalkan membaca Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali pada setiap malam sebelum melelapkan mata (tidur).

Lakukanlah dengan penuh tekun, ikhlas dan istiqamah. InsyaAllah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan dalam kehidupan seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.
 
 
 
http://www.penadaie.com/2012/08/penawar-menghilangkan-kepenatan.html