Thursday, December 24, 2009
Amalan Yang Terbalik
Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan yang terbalik:
1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w di mana Rasulullah s.a.w telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyediakan makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi @ salam kaut (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarahi orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarahi keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk beri kita makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Al-Qur'an atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Al-Qur'an atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Al-Qur'an nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al-Qur'an atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
11. Kita cukup teruja untuk meng'forward'kan sms atau emel dalam bentuk gossip² artis kepada kawan². Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel² peringatan sebegini kepada kawan² kita???
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat yang sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan ajaran Islam yang sebenar dan bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)
Sunday, December 20, 2009
Tiga Junaih (3 genih)
Tadi aku pergi ke kafeteria Markaz Nil (tempat kursus bahasa arab).
Aku menempah to'miyyah bil baidh (roti arab yang mengandungi telur, kentang dan to'miyyah [sayuran yang telah dikisar halus, kemudian digoreng]) dan secawan syai (air teh "o").
Aku telah terserempak dengan seorang anak muda yang berumur belasan tahun. Kami berkenalan, aku bertanya kepadanya beberapa soalan luarbiasa yang aku tanyakan kepada sesiapa yang aku baru jumpa. Siapa nama? Tinggal mana? Kuliah apa? Dan beberapa soalan lagi yang aku tanyakan kepadanya.
Aku terkejut apabila dia mengatakan dirinya berumur 14 tahun (seperti umur adikku yang bernama Muhammad 'Asim yang ketika ini di tingkatan 2 SAMTTAJ, Shah Alam). Tapi, tubuh badannya seakan-akan lebih dewasa dariku, apatah lagi 'Asim.
Namanya Najmi, berasal dari Terengganu dan kini berada di tingkatan 4 sekolah menengah (Bu'uth) di Mesir. Walaupun baru berumur 14 tahun, dia kini berada di mustawa 6 (peringkat 6) di Markaz Nil, manakala aku baru mustawa 1.
Aku begita takjub dan kagum sekali dengan kekentalan anak muda ini, tapi ini belum menjadikan aku sangat takjub lagi.
Setelah selesai minum, Najmi minta izin untuk masuk ke kelasnya yang telahpun bermula dan dia pun pergi meninggalkanku keseorangan bersama penjaga kafeteria tersebut. Aku pula menghabiskan sisa makananku yang masih berbaki dengan begitu nikmat sekali.
Setelah selesai makan, aku mengeluarkan duit L.E 1 sebanyak 3 keping untuk membayar duit makan.
Apabila sampai di kaunter, aku menghulurkan duit sebanyak L.E 3 @ 3 genih(rm1.80) kepada pakcik kantin tetapi dia tidak mahu menerimanya. Aku terkejut dan bertanya: "Leih keda Ya 'Am?" ("Kenapa macam ni pakcik?"). Pakcik itu menjawab: "Dafa'a Ahmad" ("Ahmad dah bayarkan").
Aku bertanya lagi: "Man Ahmad? Ahmad Najmi?" ("Siapa Ahmad? Adakah dia Ahmad Najmi?"). Pakcik menjawab kembali: "Aiwah, bizzobt!" ("Ya, betul!") sambil menunjukkan gaya seorang yang bertubuh besar.
Aku pelik juga bagaimana seorang yang baru kukenal beberapa minit boleh belanja orang yang tidak dikenalinya walaupun aku tidak memberitahu namaku kepadanya. Mungkin inilah yang dikatakan martabat ukhuwwah yang paling tinggi iaitu ithar (melebihkan seorang daripada diri sendiri).
Subscribe to:
Posts (Atom)