Tadi aku pergi ke kafeteria Markaz Nil (tempat kursus bahasa arab).
Aku menempah to'miyyah bil baidh (roti arab yang mengandungi telur, kentang dan to'miyyah [sayuran yang telah dikisar halus, kemudian digoreng]) dan secawan syai (air teh "o").
Aku telah terserempak dengan seorang anak muda yang berumur belasan tahun. Kami berkenalan, aku bertanya kepadanya beberapa soalan luarbiasa yang aku tanyakan kepada sesiapa yang aku baru jumpa. Siapa nama? Tinggal mana? Kuliah apa? Dan beberapa soalan lagi yang aku tanyakan kepadanya.
Aku terkejut apabila dia mengatakan dirinya berumur 14 tahun (seperti umur adikku yang bernama Muhammad 'Asim yang ketika ini di tingkatan 2 SAMTTAJ, Shah Alam). Tapi, tubuh badannya seakan-akan lebih dewasa dariku, apatah lagi 'Asim.
Namanya Najmi, berasal dari Terengganu dan kini berada di tingkatan 4 sekolah menengah (Bu'uth) di Mesir. Walaupun baru berumur 14 tahun, dia kini berada di mustawa 6 (peringkat 6) di Markaz Nil, manakala aku baru mustawa 1.
Aku begita takjub dan kagum sekali dengan kekentalan anak muda ini, tapi ini belum menjadikan aku sangat takjub lagi.
Setelah selesai minum, Najmi minta izin untuk masuk ke kelasnya yang telahpun bermula dan dia pun pergi meninggalkanku keseorangan bersama penjaga kafeteria tersebut. Aku pula menghabiskan sisa makananku yang masih berbaki dengan begitu nikmat sekali.
Setelah selesai makan, aku mengeluarkan duit L.E 1 sebanyak 3 keping untuk membayar duit makan.
Apabila sampai di kaunter, aku menghulurkan duit sebanyak L.E 3 @ 3 genih(rm1.80) kepada pakcik kantin tetapi dia tidak mahu menerimanya. Aku terkejut dan bertanya: "Leih keda Ya 'Am?" ("Kenapa macam ni pakcik?"). Pakcik itu menjawab: "Dafa'a Ahmad" ("Ahmad dah bayarkan").
Aku bertanya lagi: "Man Ahmad? Ahmad Najmi?" ("Siapa Ahmad? Adakah dia Ahmad Najmi?"). Pakcik menjawab kembali: "Aiwah, bizzobt!" ("Ya, betul!") sambil menunjukkan gaya seorang yang bertubuh besar.
Aku pelik juga bagaimana seorang yang baru kukenal beberapa minit boleh belanja orang yang tidak dikenalinya walaupun aku tidak memberitahu namaku kepadanya. Mungkin inilah yang dikatakan martabat ukhuwwah yang paling tinggi iaitu ithar (melebihkan seorang daripada diri sendiri).
No comments:
Post a Comment