Monday, May 24, 2010

Rasulullah s.a.w. SEBAGAI PEMIMPIN

PENDAHULUAN

Rasulullah s.a.w. telah dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda s.a.w. adalah rahmat dari Allah S.W.T.yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini,sebagaimana jelas dari firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

'Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam'.
(Al-Anbiya’:107) Sebagai seorang Rasul yang diutuskan,darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bersifat ma’sum iaitu terpelihara dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka kerana itu,arah dan tujuan yang di bawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. iaitu agama Islam. Kini Baginda s.a.w. sudah tidak ada lagi di dunia ini,tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

Dalam menyampaikan ajaran dan perintah-perintah dari Allah, Baginda juga memperlihatkan contoh-contoh teladan untuk diikuti oleh umatnya. Berkenaan hal ini Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).'

(Al-Ahzab: 21)

Oleh yang demikian, dalam rencana ini kita akan melihat beberapa pengajaran dan contoh teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:

RUMAHTANGGA

Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga. Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya. Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang,kerjasama dan saling bantu membantu.

Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja. Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

' Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula'.

Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur. Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.

JIRAN

Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:

Maksudnya: ' Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya

Oleh:
Ketua Pengarah JAKIM
[Datuk Haji Mohd.Shahir Bin Haji Abdullah]


Sumber



Friday, May 21, 2010

Mungkin...


Mungkin

Dalam jauh perjalanan kita
Dalam banyak ruang yang telah kita pijak
Dalam hilai tawa yang telah kita ukirkan
Dalam banyak trofi yang telah kita julang
Rupa-rupanya tetap juga kita merasa kesepian
Akhirnya mencari-cari bahasa rindu

Kita jadi tertanya
Bagaimanakah nikmat rindu itu?
Rindu pada ibu dan ayah?
Rindu pada isteri, suami, anak-anak, insan tersayang?
Pada kampung halaman nan indah?
Atau
Kita pernah merasa rindu pada tanah?

Tapi di sebalik semua rindu itu...
Bagaimana indahnya merindui ALLAH
Di mana dan bagaimana?
Kerana barangkali rindu padaNya
Telah sekian lama terabai

"...Wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diridhaiNya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu..."
(Surah Al-Fajr: 27-30)

Wednesday, May 12, 2010

Jangan Bersedih, Inilah Cara untuk Bahagia



Jangan Bersedih:

1. Sedarilah bahawa jika Anda tidak hidup hanya dalam batasan hari ini saja, maka akan terpecahlah fikiran Anda, akan kacau semua urusan, dan akan semakin menggunung kesedihan dan kegundahan diri Anda. Inilah makna sabda Rasulullah: "Jika pagi tiba, janganlah menunggu petang; dan jika petang tiba, janganlah menunggu hingga waktu pagi."

2. Lupakan masa lalu dan semua yang pernah terjadi, kerana perhatian yang terpaku pada yang telah lewat dan selesai merupakan kebodohan dan kegilaan.

3. Jangan menyibukkan diri dengan masa depan, sebab ia masih berada di alam ghaib. Jangan fikirkan hingga ia datang dengan sendirinya.

4. Jangan mudah tergoncang oleh kritikan. Jadilah orang yang teguh pendirian, dan sedarilah bahawa kritikan itu akan mengangkat harga diri Anda setara dengan kritikan tersebut.

5. Beriman kepada Allah, dan beramal soleh adalah kehidupan yang baik dan bahagia.

6. Barangsiapa menginginkan ketenangan, keteduhan, dan kesenangan, maka dia harus berdzikir kepada Allah.

7. Hamba harus menyedari bahwa segala sesuatu berdasarkan ketentuan qadha' dan qadar.

8. Jangan menunggu terima kasih dari orang lain.

9. Persiapkan diri Anda untuk menerima kemungkinan terburuk.

10. Kemungkinan yang terjadi itu ada baiknya untuk diri Anda.

11. Semua qadha' bagi seorang muslim baik adanya.

12. Berfikirlah tentang nikmat, lalu bersyukurlah.

13. Anda dengan semua yang ada pada diri Anda sudah lebih banyak daripada yang dimiliki orang lain.

14. Yakinlah, dari waktu ke waktu selalu saja ada jalan keluar.

15. Yakinlah, dengan musibah hati akan tergerak untuk berdoa.

16. Musibah itu akan menajamkan nurani dan menguatkan hati.

17. Sesungguhnya setelah kesulitan itu akan ada kemudahan.

18. Jangan pernah hancur hanya kerana perkara-perkara yang remeh-temeh.

19. Sesungguhnya Rabb itu Maha Luas ampunan-Nya.

Friday, March 19, 2010

4 Tips Solat Khusyu'


السلام عليكم . بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
الحمد لله رب العا لمين. الصلاة و السلام على رسو ل الله.اما بعد

Bicara soalan shalat, ada banyak cara untuk mencapai shalat khusyu', tapi saran saya, tak perlu banyak tips untuk mencapai shalat yg lebih khusyu'.

Tak perlu berlembar-lembar atau habiskan wang untuk membeli buku shalat khusyu'. Mari kita bertanya kepada Al-Qur'an, bagaimana nak lakukan shalat yang lebih khusyu'.

4 Tips ini kena dicuba untuk mencapai shalat yang lebih khusyu':

1. Jangan pernah berfikir bila kita masih bisa hidup setelah shalat.

Kita kena yakin jika shalat ini ialah sebagai shalat terakhir kita dimuka bumi ini, ramai kita dengar si fulan meninggal seusai shalat, si fulan meninggal setelah adzan, imam fulan meninggal saat sujud dan lainnya. Si fulan meninggal saat tengah judi, maksiat dan lainnya.

Mungkin ini ialah shalat terakhir di dunia, lepas itu, kita kena relakan suami/isteri kita seorang diri, anak kita menjadi yatim piatu, mungkin nanti malam ialah malam pertama dalam liang kubur, semua harta yang kita kumpulkan tidak akan kita bawa, & menjadi hak saudara kita, wajah elok & cantik yg kita banggakan dalam masa seketika akan berubah busuk.


2. WAJIB tahu erti setiap bacaan shalat

Qs.4 An-Nisaa':43. Hai orang-orang yang beriman, JANGANLAH kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, SEHINGGA KAMU MENGERTI APA YANG KAMU UCAPKAN...

MABUK dalam ayat ini boleh diertikan sebagai mabuk khamr, tapi juga mabuk dunia, mabuk harta, mabuk tahta, mabuk cinta pun termasuk pula dalam hal yang mengganggu shalat sehingga kita lupa/silap/tak sadar bacaan shalat apa yang telah kita baca, bahkan selalunya kita lupa rakaat ke berapa.

Lebih baik membaca surah pendek yang kita tahu erti bacaan setiap kata-kata daripada membaca surah panjang yg kita tidak tahu apa ertinya. Ingat, dalam Ayat diatas JANGANLAH KAMU SHALAT SEDANG KAMU TIDAK MENGERTI APA YANG KAMU UCAPKAN.

Faham erti bacaan shalat itu PENTING SANGAT HINGGA KITA DILARANG SHALAT SEHINGGA KITA BOLEH FAHAM APA YG KITA UCAPKAN

Jadi,,, maaf,,, untuk akhi, ukhti, kakak, adik yg masih belum faham erti bacaan iftitah, alfatihah, surah/ayat, ruku, i'tidal, sujud, duduk antara 2 sujud, tahiyat awal & akhir, maka WAJIB kena tahu & hafal maknanya. Lagi bagus jika kata demi kata.


3. Ucapkan dengan SUARA SEDANG/DI ANTARA KERAS & PELAN
(((ini penting sangat)))

Qs. 17 Al-Israa':110 dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam shalatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu".

Bila kita pelankan suara atau cuma di dalam hati sahaja, maka terkadang fikiran kita akan melayang tidak tentu arah.


4. Tuma'ninah

Perlahan, tidak terlalu cepat, dinikmati, dihayati, yakinkah kita jika 10 detik lagi masih hidup? Tuma'ninah ini termasuk 1 dari 13 rukun shalat.


Selain 4 tips itu, disarankan pula agar:
* Berdoa sebelum shalat, memohon perlindungan kepada ALLAH dari godaan syaithon.
* Membunuh Egois & Sombong dalam diri.

Qs.6 Al-An'aam:42 ... supaya mereka memohon dengan tunduk merendahkan diri.

Hilangkan rasa sombong pada diri, jangan berfikir selain shalat, hilangkan apa yang telah dan akan kita lakukan. Bunuhlah semua yang berhubungan dengan aktiviti di dunia, fokus hanya pada ALLAH & erti bacaan shalat. Menyedari dosa yang telah lalu

Lagi bagus jika Dzuhur, Ashar & Isya' berdzikir pendek. Lalu Shalat Subuh & Maghrib berdzikir panjang.

Apa salah 1 tanda shalat diterima?
Sesungguhnya shalat itu mencegah dari perbuatan keji & mungkar.
Qs. 29 Al-'Ankabuut: 45

Tuesday, February 16, 2010

Dalil bahawa Couple tu HARAM!!



Kami tidak berzina !
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina, tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya barbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakah itu menghampiri zina?
Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.
Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang. Iblis akan memerangkap kamu. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan (Riwayat Al-Tabrani). Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

Tidak semestinya semua orang bercinta* menjurus kepada penzinaan. Ada yang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tidak pernah bersua muka pun!
Betul. Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun zina ke?

Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja! (bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)*

Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia, akhirat lagi lah. Jangan berselindung di sebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni Study Group. (bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
Study Group...? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-manapun berdua. Kalau ye pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni... betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu... banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Kami berdua sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi
? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula .

Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta?

Adakah Islam membunuh terus naluri cinta? Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

Islam takde ke couple-couple ni?
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta suci dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia. Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam. Bukankah mereka semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.

Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang. Jadi manusia itu tidak tahan diuji? Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu. Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang zalim. (Al-Araf:19) Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.



Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah.

Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin. Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti. Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke?
Ganti bercinta....
Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri? Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

Adakah orang yang bercinta hilang maruah?

Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.(Surah An-Nur: 3)

Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan? Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Kami telah berjanji sehidup semati.....

Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
Tentu! Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya!

Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
Ya! Masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35 )

Bagaimana kami?

Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha. Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya.Taubat yang memenuhi tiga syarat: i) Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. ii) Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. iii) Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab kabul.

Moga Allah terima taubat mu. Kita berpisah kerana Allah , kalau ada jodoh , tidak ke mana! Ya, Allah! Bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka "

Kredit: Sepaku.net

Monday, February 8, 2010

Yang Lalu Biarkan Berlalu


Mengingat dan mengenang masa lalu, kemudian bersedih atas nestapa dan kegagalan di dalamnya merupakan tindakan bodoh dan gila. Itu, sama ertinya dengan membunuh semangat, memupuskan tekad dan mengubur masa depan yang belum terjadi.


Bagi orang yang berfikir, kesan-kesan masa lalu akan dilipat dan tak pernah dilihat kembali. Cukup ditutup rapat-rapat, lalu disimpan di dalam 'ruang' penglupaan, diikat dengan tali yang kuat dalam 'penjara' pengacuhan selamanya. Atau, diletakkan di dalam ruang gelap yang tak tertembus cahaya. Yang demikian, kerana masa lalu telah berlalu dan habis. Kesedihan tak akan mampu mengembalikannya lagi, keresahan tak akan sanggup memperbaikinya kembali, kegundahan tidak akan mampu mengubahnya menjadi terang, dan kekacauan tidak akan dapat menghidupkannya kembali, karena ia memang sudah tidak ada.


Jangan pernah hidup dalam mimpi buruk masa lalu, atau di bawah payung gelap masa silam. Selamatkan diri Anda dari bayangan masa lalu! Apakah Anda ingin mengembalikan air sungai ke hulu, matahari ke tempatnya terbit, seorang bayi ke perut ibunya, air susu ke payudara sang ibu, dan air mata ke dalam kelopak mata? Ingatlah, keterikatan Anda dengan masa lalu, keresahan Anda atas apa yang telah terjadi padanya, keterbakaran emosi jiwa Anda oleh api panasnya, dan kedekatan jiwa Anda pada pintunya, adalah kondisi yang sangat naif, ironis, memprihatinkan, dan sekaligus menakutkan.


Membaca kembali lembaran masa lalu hanya akan memupuskan masa depan, mengendurkan semangat, dan menyia-nyiakan waktu yang sangat berharga. Di dalam al-Qur'an, setiap kali usai menerangkan kondisi suatu kaum dan apa saja yang telah mereka lakukan, Allah selalu mengatakan, "Itu adalah umat yang lalu." Begitulah, ketika suatu perkara habis, maka selesai pula urusannya. Dan tak ada gunanya mengurai kembali bangkai zaman dan memutar kembali roda sejarah.


Orang yang berusaha kembali ke masa lalu, adalah tak ubahnya orang yang menumbuk tepung, atau orang yang menggergaji serbuk kayu. Syahdan, nenek moyang kita dahulu selalu mengingatkan orang yang meratapi masa lalunya demikian: "Janganlah engkau mengeluarkan mayat-mayat itu dari kuburnya." Dan konon, kata orang yang mengerti bahasa binatang, sekawanan binatang sering bertanya kepada seekor keldai begini, "Mengapa engkau tidak menarik gerobak?" "Aku benci khayalan," jawab keledai.


Adalah bencana besar, apabila kita rela mengabaikan masa depan dan justru hanya disibukkan oleh masa lalu. Itu, sama halnya dengan kita mengabaikan istana-istana yang indah dengan sibuk meratapi reruntuhan yang telah lapuk. Padahal, betapapun seluruh manusia dan jin bersatu untuk mengembalikan semua hal yang telah berlalu, niscaya mereka tidak akan pernah mampu. Sebab, yang demikian itu sudah mustahil pada asalnya.


Orang yang berfikiran jernih tidak akan pernah melihat dan sedikitpun menoleh ke belakang. Kerana, angin akan selalu berhembus ke depan, air akan mengalir ke depan, setiap kafilah akan berjalan ke depan, dan segala sesuatu bergerak maju ke depan. Dengan sebab itu, maka janganlah pernah melawan sunnah kehidupan.


“La Tahzan (Jangan Bersedih) - Dr. ‘Aidh Al-Qarni”

Saturday, February 6, 2010

Fikirkan dan Bersyukurlah

Ertinya, ingatlah setiap nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Kerana Dia telah melipatgandakan nikmat-Nya dari hujung rambut sehingga ke bawah kedua tapak kaki.

{Jika kamu menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan sanggup menghitungnya.}

(Surah Ibrahim: 34)


Kesihatan badan, keamanan negara, makanan dan pakaian, udara dan air, semuanya tersedia di dalam hidup kita. Namun begitulah, kita memiliki dunia, tetapi tidak pernah menyedarinya. Kita menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

{Dan, Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu lahir dan batin.}

(Surah Luqman: 20)


Kita memiliki dua mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

{Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?}

(Surah Ar-Rahman: 13)


Apakah kita mengira bahwa, berjalan dengan kedua kaki itu sesuatu yang tidak bererti, sedangkan kaki seringkali menjadi bengkak apabila digunakan untuk berjalan terus menerus tiada henti? Apakah kita mengira bahwa berdiri tegak di atas kedua betis itu sesuatu yang mudah, kemungkinan keduanya boleh saja tidak kuat dan akan patah?


Maka sedarilah, betapa hinanya diri kita apabila tertidur lelap, ketika sanak saudara di sekitar kita masih banyak yang tidak boleh tidur kerana sakit yang mengganggunya? Pernahkah kita merasa kecewa apabila dapat menikmati makanan dan minuman dingin sedangkan masih ramai orang di sekitar kita yang tidak boleh makan dan minum kerana sakit?


Cuba fikirkan, betapa besarnya fungsi pendengaran, yang dengannya Allah menjauhkan kita dari ketulian. Cuba renungkan dan raba kembali mata kita yang tidak buta. Ingatlah dengan kulit kita yang bebas dari penyakit kusta dan sopak. Dan renungkan betapa dahsyatnya fungsi otak kita yang selalu sihat dan terhindar dari kegilaan yang menghinakan.


Adakah kita ingin menukar mata kita dengan emas sebesar gunung Uhud, atau menjual pendengaran kita seharga perak satu bukit? Apakah kita mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah kita, hingga kita bisu? Mahukah kita menukar kedua tangan kita dengan untaian mutiara, sementara tangan kita kudung?


Begitulah, sebenarnya kita berada dalam kenikmatan dan kesempurnaan tubuh yang tiada tandingan, tetapi kita tidak menyedarinya. Kita tetap merasa resah, gelisah, sedih, dan terlambat, meskipun kita masih mempunyai nasi hangat untuk dimakan, air segar untuk diminum, waktu yang tenang untuk tidur nyenyak, dan kesihatan untuk terus bekerja.


Kita seringkali memikirkan sesuatu yang tidak ada, sehingga kita sendiri lupa mensyukuri apa yang sudah ada. Jiwa kita mudah tergoncang hanya kerana kerugian harta yang mendera. Padahal, sesungguhnya kita masih memegang kunci kebahagiaan, memiliki jambatan penghubung kebahagiaan, kasih sayang, kenikmatan, dan sebagainya. Maka fikirkanlah semua itu, dan kemudian bersyukurlah!

{Dan, pada dirimu sendiri. Maka, apakah kamu tidak memperhatikan.}

(Surah Adz-Dzariyat: 21)


Fikirkan dan renungkan apa yang ada pada diri, keluarga, rumah, pekerjaan, kesihatan, dan apa saja yang tersedia di sekeliling kita. Dan janganlah termasuk golongan

{Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya.}

(Surah An-Nahl: 83)