Solat merupakan ibadah yang penting kerana solat ini akan mempengaruhi tingkah laku seseorang mukmin. Solat juga menjadi ibadah utama yang akan dinilai oleh Allah S.W.T di padang mahsyar nanti.
Sebelum mengetahui bagaimana mencapai khusyuk dalam solat, seharusnya kita memahami
Apakah makna solat?
Mengapa Islam mementingkan solat?
Bagaimana solat mampu mengubah sikap atau perilaku seseorang mukmin?
Apakah khusyuk?
Dan barulah kita akan membincangkan bagaimana mencapai tahap khusyuk?
Apakah Solat?
Masalah kita di dalam khusyuk ini adalah kerana kita tidak pernah mengambil tahu apakah sebenarnya solat itu. Mengapa Islam mengambil berat tentang solat? Adakah ia sekadar hanya kaedah untuk Allah menilai manusia samada baik atau tidak? Adakah ia hanya satu ujian untuk kita membuktikan yang kita ini taat pada perintah Allah?
Solat adalah satu ibadah yang mengandungi dua perkara iaitu ketuhanan dan kehambaan. Ibadah solat ini seharusnya memberikan perasaan ke dalam diri jiwa mukmin itu rasa ketuhanan Allah S.W.T dan rasa kehambaan diri manusia itu. Jika ini tidak dirasai, maka gagallah ibadah solat ini.
Solat juga merupakan satu meditasi teragung untuk umat manusia. Meditasi atau tafakkur adalah kaedah untuk memantapkan jiwa. Semasa meditasi kita sebenarnya merendahkan gelombang fikiran sehingga tahap seminimum mungkin. Ia bermakna kita mengurangkan proses berfikir. Ia bertujuan untuk memberi ketenangan kepada kita di samping memantapkan jiwa dan melemahkan nafsu.
Bagaimana mengurangkan proses berfikir dapat melemahkan nafsu?
Sesuai dengan sifat Nafsu, ia akan sentiasa mempengaruhi akal fikiran untuk melakukan kejahatan. Maka dengan cara merendahkan fikiran, nafsu gagal mempengaruhi fikiran.
Merendahkan fikiran atau mengurangkan proses berfikir berlaku ketika KHUSYUK.
Apabila khusyuk di dalam solat, kita hanya memikirkan hanya Allah S.W.T. Kita hanya memikirkan dua perkara iaitu ketuhanan Allah S.W.T dan kehambaan kita kepada Allah S.W.T.
***
Segala tingkah laku kita ini dikawal oleh fikiran. Dengan kata lain, jasad kita ini dikawal oleh fikiran. Sebab itu di dalam keadaan yang banyak berfikir, nafsu amat mudah mengawal fikiran sesuai dengan keinginan nafsu yang pelbagai.
Fikiran pula mempunyai kelemahan kerana semua informasi yang diterima oleh fikiran ini berlaku pemesongan (distortion) dan mungkin ada yang terpadam (deletion) akibat dari penapis luaran dan dalaman. Maka keupayaan kita untuk mengetahui Realiti sebenar terbatas.
Contohnya, jika saudara melihat makanan yang dihias cantik, saudara mungkin berasa ingin makan makanan tersebut. Tetapi sesudah merasa makanan tersebut, barulah saudara tahu makanan itu tidak sedap seperti yang disangka.
Lihatlah kelemahan fikiran pada peringkat awal tadi iaitu tidak mengetahui realiti sebenar makanan itu tidak sedap. Kelakukan kita memakan makanan tadi hanyalah kerana keinginan yang dilahirkan oleh nafsu lalu fikiran yang lemah menilai realiti sebenar hanya mengikuti sahaja.
Sebab itu kita perlu banyak ilmu di dalam hidup ini. Ilmu yang banyak akan dapat menilai baik buruk sesuatu keinginan yang dilahirkan oleh nafsu.
***
Nafsu pula sentiasa membawa manusia ke arah kejahatan. Tidak ada nafsu baik sebenarnya.
“Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Yusuf: 53)
Tingkatan nafsu yang banyak diperkatakan adalah sebenarnya merujuk kepada keupayaan nafsu mempengaruhi fikiran. Bukan terdapatnya nafsu baik. Mereka yang mempunyai jiwa yang kuat dan rahmat oleh Allah adalah mereka yang terselamat daripada hasutan nafsu. Sekali lagi bukan kerana mereka mempunyai nafsu yang baik kerana nafsu ini bersifat jahat.
Sebagai contoh, nafsu amarah. Nafsu amarah adalah tingkatan nafsu ketika nafsu mampu mempengaruhi akal fikiran keseluruhannya. Jasad ini seolah-olah telah dikawal oleh fikiran yang telah dipengaruhi nafsu.
Begitu juga dengan tingkatan nafsu yang lain. Nafsu tetap jahat. Cuma sejauh mana ia dapat mempengaruhi fikiran itulah merupakan tingkatan nafsu yang selalu dibincangkan.
***
Apabila kita melakukan solat (taffakur) kita dapat mengurangkan fikiran dan secara langsung nafsu gagal mempengaruhi diri kita (jasad). Ingat, diri kita dikawal oleh fikiran.
Apabila kita kurang berfikir, bermakna nafsu gagal mengarahkan jasad melakukan keburukan atau kejahatan.
Ringkasnya: Jasad di kawal oleh fikiran. Semasa solat fikiran kurang kerana kita hanya ingat Allah SWT (khusyuk). Nafsu hanya mempunyai sedikit fikiran yang boleh digunakan untuk mengawal jasad. Maka nafsu gagal untuk menyuruh manusia membuat kejahatan. Inilah dikenali sebagai nafsu yang telah dididik.
Sebenarnya nafsu yang dididik adalah nafsu yang telah lemah. Tapi ia masih jahat. Bukan nafsu yang dididik menjadi nafsu baik. Ia telah lemah sahaja.
Sebolehnya kita ingin membuang terus fikiran atau dengan nama lain mengosongkan fikiran dan secara langsung membuang terus nafsu. TETAPI mana mungkin kita dapat mengosongkan fikiran kerana kita WAJIB mengingati Allah sepanjang masa.
Nafsu juga diperlukan kerana kita perlu ada keinginan untuk makan minum, melakukan sesuatu dan pelbagai lagi. Apa yang kita boleh lakukan adalah sekadar mengurangkan
proses berfikir dan secara tak langsung nafsu akan menjadi lemah. Barulah keinginan kita boleh dikawal atau dengan nama lain kita mampu mengawal nafsu.
Apakah khusyuk dalam solat?
Bagaimana mencapai khusyuk dalam solat?
Bagaimana solat menguatkan jiwa?
Bersambung...
1 comment:
thank you for sharing
Post a Comment