Wednesday, June 30, 2010

Khusyuk Solat (2)


Khusyuk itu bukan sesuatu yang direka. Kita hanya perlu mendapatkan dan merasai rasa khusyuk. Bukan menciptakan rasa khusyuk.

Apakah khusyuk?
Khusyuk bermakna asyik. Apabila saudara berada di dalam keadaan keasyikan, pasti saudara tidak akan mengingati yang lain melainkan sesuatu yang mengasyikkan saudara itu sahaja. Keasyikan memberikan pengaruh yang besar di dalam diri kita. Kita lebih mudah mengingati dan mengikut perkara yang mengasyikkan diri kita.

Ketika saudara berada dalam keadaan keasyikan menonton TV, saudara juga berada di dalam keadaan khusyuk. Jika rancangan TV yang kita tonton membuatkan kita asyik, pasti pengaruhnya kepada diri kita adalah tinggi. Kita sentiasa ingat rancangan atau cerita TV itu sahaja. Tidak hairan bagaimana kanak-kanak lagi mudah terpengaruh.


Keasyikan atau khusyuk menjadikan fikiran kita berada di tahap alpha di mana proses berfikir perkara yang lain selain sesuatu yang mengasyikkan menjadi kurang. Sedang kita menonton rancangan yang mengasyikkan, bukankah kita akan terlupa perkara-perkara yang lain selain daripada rancangan yang mengasyikkan itu sahaja?


Apakah khusyuk dalam solat?
Solat mempunyai 2 perkara utama iaitu ketuhanan dan kehambaan. Apabila kita khusyuk di dalam solat, kita mestilah berada di dalam keadaan yang kita SEDAR diri kita sedang mendirikan solat. Kita mesti berada di dalam ‘living at the present’.

Kita mesti merasai 2 perkara utama yang dikatakan iaitu Allah itu Tuhan dan diri kita ini hambaNya. Mesti ada perasaan cinta pada Allah, merayu, memohon, menyesali dosa, mengharap dan sebagainya. Kita memahami sepenuhnya dengan penuh kejiwaan setiap apa yang kita lafazkan di dalam solat. Kita merasai keberadaan Allah S.W.T sangat hampir dengan diri kita walaupun hakikatnya memang Allah S.W.T berada sangat hampir dengan kita.


Bagaimana solat dapat menguatkan jiwa? Apabila kita berada dalam keadaan asyik atau khusyuk di dalam solat, kita tidak akan mengingati perkara yang lain selain solat. Maka nafsu akan menjadi lemah kerana tidak banyak perkara yang kita fikirkan. Nafsu tidak mampu mempengaruhi fikiran. Lalu jiwa yang sentisa mengajak kepada sifat-sifat Allah akan dapat menguasai fikiran hasil daripada kelemahan nafsu. Inilah yang dikatakan jiwa menjadi kuat iaitu jiwa yang kuat adalah jiwa yang dapat menguasai fikiran bukan nafsu yang menguasai fikiran.

Jiwa juga bertambah kuat kerana di dalam solat terdapat 2 perkara utama tadi iaitu ketuhanan dan kehambaan. Dengan 2 perkara ini, kita merasakan penyerahan 100% hidup kita ini kepada tidak ada yang lain melainkan Allah S.W.T . Jiwa/hati menjadi tenang, bahagia dan sejahtera apabila kita dapat meluahkan segala-galanya pada Allah S.W.T ketika kita bersolat. Kita merasakan semua masalah kita adalah cuma ilusi fikiran dan hanya Allah S.W.T yang dapat menyelesaikan masalah kita.


Selain itu, solat juga menambahkan lagi rasa cinta kita pada Allah S.W.T dengan puji-pujian yang kita berikan pada Allah S.W.T dengan penuh kejiwaan dan keikhlasan. Rasa cinta ini hanya akan wujud jika kita solat dalam keadaan khusyuk.


Bagaimana mencapai khusyuk dalam solat?
Setelah kita memahami khusyuk itu bermaksud asyik dan caranya adalah mengurangkan proses berfikir dengan berada di dalam keadaan ‘living at the present’ maka sudah pasti kita tahu bagaimana untuk mencapai khusyuk di dalam solat.

Saya tidak menulis dengan teperinci di sini kerana penjelasannya agak panjang. Tetapi saya menulis secara asasnya sahaja.


Berbalik kepada konsep ‘living at the present’ atau berada di dalam keadaan sekarang atau NOW, kita boleh mempraktikkannya di luar solat. Untuk menjiwai apa yang kita baca di dalam solat, kita perlu memahami setiap makna bacaan di dalam solat. Memahami tidak sama dengan sekadar menghafal. Memahami adalah menjiwai.


Seperti contoh, apabila kita melafazkan “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam” mestilah turut benar-benar merasai Allah S.W.T Maha Hebat yang memiliki seluruh alam ini.


Ia berlaku dengan spontan seperti kita menyebut “thank you” pada kawan kita. Kita tidak perlu mengingati thank you itu bermakna terima kasih ketika kita melafazkannya tetapi kita merasakan perasaan terima kasih itu apabila kita menyebut “thank you” tanpa perlu memikirkan makna thank you tersebut.

Maka ia sama ketika kita melafazkan ayat-ayat di dalam solat. Ketika kita melafazkannya dengan perlahan, secara sendirinya kita merasakan makna ayat tersebut.


Dengan menjiwai bacaan solat, barulah kita dapat merasakan kita berada di dalam keadaan ‘living at the present’ ketika solat. Kita sedar kita sedang mendirikan solat dan kita merasakan kehadiran Allah yang sangat hampir dengan kita.


Selain itu adalah makruh hukumnya jika kita memejamkan mata. Ini kerana memejamkan mata akan membuatkan kita lebih mudah berada di luar “living at the present”. Kita lebih banyak memikirkan hal-hal yang lain yang membuatkan solat kita tidak khusyuk. Maka bukalah mata ketika mendirikan solat tetapi memandang kepada satu arah sahaja.


Khusyuk di dalam solat juga boleh diperolehi dengan cara berkomunikasi dengan Allah. Apabila kita rukuk dan sujud, banyakkan lagi berkomunikasi dengan Allah.


Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”
Rujukan: http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #738.


“Living at the present” juga boleh dipraktikkan di luar solat. Ketika kita melakukan kerja, banyakkan komunikasi dengan Allah berkenaan dengan apa yang kita lakukan, fikirkan, dengar, lihat dan sebagainya. Dengan cara ini kita dapat memberikan fokus sepenuhnya ke atas kerja yang sedang kita lakukan. Jika kita sentiasa komunikasi dengan Allah, ia akan menjadi satu perkara yang biasa kita lakukan dan pasti amat mudah kita lakukan di dalam solat.

Mudah-mudahan saudara semua mendapat perubahan ke arah kebaikan dengan mendirikan solat. Solat yang berkualiti dapat diukur berdasarkan sikap kita kerana jika kita mendirikan solat dengan berkualiti iaitu khusyuk di dalam solat, pasti perubahan besar akan berlaku ke atas diri kita.

Kita tidak lagi sombong, ego, bercakap besar, merasa diri ini hebat, takabbur, suka mengumpat, rasa megah diri, banyak keinginan duniawi dan sebagainya. Jika ini masih ada di dalam diri kita, ketahuilah bahawa solat kita belum sempurna.


Wallahua'lam.

No comments: