Friday, July 2, 2010

Khusyuk Solat (3)




Saya pernah disoal oleh pelajar ketika saya bercerita kepada mereka bagaimana mencapai solat yang khusyuk. Mereka ingin tahu bagaimana cara saya mencapai khusyuk di dalam solat. Saya kongsikan jawapan saya kepada mereka dengan saudara semua di sini.

Seringkali khusyuk di dalam solat ini dikaitkan dengan kisah Saidina Ali r.a ketika beliau terkena anak panah musuh. Beliau diriwayatkan mendirikan solat sunat dan ketika itulah anak panah tersebut dicabutkan dari kaki beliau tanpa ada rasa sakit sedikit pun. Khusyuk inilah yang kita jadikan panduan untuk kita capai hingga ke hari ini.

Namun kita jarang membaca kisah bagaimana Nabi Muhammad s.a.w melakukan solatnya. Baginda sudah pasti adalah manusia yang paling khusyuk solatnya.

1. Ketika Nabi sedang menjadi imam solat, tiba-tiba baginda terdengar anak kecil menangis. Baginda mempercepatkan solatnya kerana bimbang terjadi sesuatu dengan anak itu.

2. Ketika sedang solat, Nabi melihat ada binatang berbisa yang menghampiri tempat solat baginda. Baginda menghentikan solat dan mengusir binatang berbisa tersebut dan kemudian mendirikan semula solat.

3. Pada suatu ketika, setelah selesai solat berjemaah, Nabi tidak berdoa sebagaimana biasanya, tetapi segera bergegas pulang. Ketika kembali ke masjid, baginda ditanya oleh sahabatnya mengapa baginda bergegas pulang. Baginda menjawab bahawa ketika solat, beliau ingat ada sedekah yang belum diberikan. Kerana itu beliau segera pulang dan memberikan sedekah yang telah dibahagikan itu.

Banyak lagi kisah solat Nabi yang diriwayatkan. Adakah semua ini menunjukkan Nabi tidak khusyuk di dalam solat? Nabi khusyuk di dalam solat. Namun Nabi juga peka dengan keadaan sekelilingnya.

Firman Allah S.W.T:
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
(Surah Al-Baqarah:45-46)

Dari kedua ayat di atas dapat disimpulkan khusyuk sebenarnya bukanlah fokus atau konsentrasi menjadi perkara utama tetapi khusyuk itu adalah KEYAKINAN DAN KESEDARAN BAHAWA KITA SEDANG MENGHADAP ALLAH (“Living at the Present”). Di sinilah dua perkara utama akan wujud iaitu Ketuhanan dan Kehambaan. Apabila keyakinan ini dirasai, maka pastinya fokus, konsentrasi dan keasyikan itu hadir dengan sendiri. Saya beri jawapan kepada pelajar saya.

Saya mulakan khusyuk ketika hendak pergi mengambil wuduk. Saya sedar (living at the present) yang saya ingin mendirikan solat.

Ketika wuduk, setiap kali anggota wuduk disapukan dengan air, saya akan berkomunikasi dengan Allah meminta doa.

Ketika saya solat, sebelum saya membaca bacaan-bacaan dalam solat, saya pastikan diri saya benar-benar merasai yang saya sedang menghadap Allah. Benar-benar merasai keberadaan Allah yang sangat hampir dengan saya. Saya merasakan diri saya ini sangat kecil, hina, tidak ada apa-apa dan saya merasakan bahawa Allahlah satu-satunya tempat saya berharap, Maha Berkuasa dan sebagainya sehingga jiwa/hati saya ini terasa tertunduk malu, takut, berharap kemaafan, mengharapkan cintaNya dan sebagainya.

Jika saya teringatkan hal lain, saya komunikasi dengan Allah hal tersebut sambil berdoa agar hilangkan hal tersebut dalam fikiran saya.

Sebagai contoh, Sebelum saya membaca Al-Fatihah, saya pastikan jiwa saya benar-benar tunduk pada Allah. Kemudian saya akan baca setiap ayat di dalam Al-Fatihah satu persatu dengan sabar.

Biarlah apa jua keadaan seperti saya kesuntukan masa sebagai contoh untuk hadir ke mesyuarat atau ke kelas atau pun hal lain, saya akan bersolat dengan tertib satu persatu. Jika cepat hadirnya rasa tunduk pada Allah itu, maka cepatlah solat saya.

Sebenarnya saya cuba mempraktikkan thuma’ninah di dalam solat. Setiap gerakan dan bacaan itu di baca satu persatu di samping saya merasakan kehadiran Allah S.W.T walaupun hakikatnya Allah S.W.T sentiasa berada dekat dengan saya.

Gerakan dari satu rukun ke rukun yang seterusnya dilakukan dengan berhati-hati. Tidak perlu terburu-buru. Kita sentiasa sedar dengan apa yang kita lakukan. Kita berada dalam keadaan “living at the present”.

Ketika rukuk, saya tidak terburu-buru membaca, tetapi saya tundukkan dulu fikiran saya, jiwa/hati saya kepada Allah S.W.T. Kemudian setelah semua terasa tunduk, barulah saya memuji Allah - subhaana rabbial azimi wa bihamdih. Begitu juga dengan sujud dan lain-lain.

Saya mempraktikkan komunikasi dengan Allah untuk merasai jiwa/hati ini tunduk pada Allah. Untuk merasai ketuhanan Allah dan kehambaan diri saya.

Jika ini dilakukan pasti solat yang dilakukan akan mengambil masa 15-20 minit tanpa kita sedar. Kita juga tidak sedar mengalirkan air mata ketika melakukan solat ketika merasai ketuhanan Allah dan kehambaan diri kita.

Selalulah berkomunikasi dengan Allah seperti yang saya sering sarankan di dalam artikel di laman web ini. Apabila kita sudah biasa berkomunikasi dengan Allah, pasti khusyuk di dalam solat tidak lagi menjadi satu perkara yang sukar untuk kita perolehi kerana di dalam kerja pun kita juga khusyuk merasakan kehadiran Allah S.W.T.

Komunikasi dengan Allah S.W.T mampu membawa kita merasai kehadiran Allah S.W.T. Kita merasakan ketuhanan Allah S.W.T dengan perasaan jiwa kehambaan yang benar-benar pasrah, berharap dan yakin hanya 100% pada Allah.

Firman Allah:
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik).

Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
(Surah An-Nisaa’:142)

3 comments:

musyahidan said...

subhanAllah!
syukran ya tuan blog...hehehe

pha is said...

ya akhi, ana mohon copy untuk disebarkan yer...

nur-ieqa said...

salam ukhuwah tuan blog....
bagaimana mahu berkomunikasi dngn Allah? adkh brkte2 di dlm hati?